Faedah susu sebagai bahan kesihatan, kecantikan


Berita Harian, 16 Dis 2002

SEGELAS susu mengandungi pelbagai khasiatnya. Selain berfaedah untuk kesihatan, susu juga digunakan sebagai bahan kecantikan. Sejarah dua jelitawan – Cleopatra dan gundik kesayangan Dinasti Tang, Yang Kuel Fei – membuktikan susu ada keistimewaannya selain sekadar diminum apabila kedua-dua wanita ini menggunakan susu sebagai bahan mandian untuk kulit halus dan cantik.

Rahsia kecantikan Cleopatra dan Yang ini bukan satu mitos atau khayalan kerana susu sememangnya mengandungi bahan yang diperlukan untuk kesihatan. Khasiat susu sebagai bahan kecantikan diterangkan oleh Naib Presiden Penyelidikan dan Pembangunan Asia Pasifik, Johnson & Johnson International, Dr Alain Khaiat, yang berada di Kuala Lumpur bagi memberi taklimat mengenai ‘Keindahan Susu — Mitos dan Fakta’. Taklimat itu bersempena pelancaran Johnson’s Baby Milk Lotion.

Dr Khaiat, yang berkelulusan PhD dalam biofizik daripada Universiti Paris, Perancis, berkata susu yang semula jadi dan menyeluruh mengandungi bahan penting bagi kesihatan kulit dan sebagai makanan awal ketika hidup. Dalam setiap gelas yang anda minum, sistem tubuh anda akan menyerap vitamin A, B12, Protein, kalsium, Vitamin D, kalium, riboflavin, naisin, fosforus dan air. Setiap bahan galian ini berfungsi menggalakkan pertumbuhan sel, melembap, mengering dan mengekalkan struktur kulit, memastikan tulang kuat dan menggalakkan penyerapan kalsium dan fosforus pada tulang dan gigi menghalang berlakunya osteoporosis.

Selain kandungannya yang memastikan badan sihat dan tulang kuat, susu juga disyorkan sebagai bahan merawat luka. Pada 1997, doktor di Commonwealth Scientific and Industrial Research Organization Division of Human Nutrition, Australia, mendapati dadih (sebahagian lebihan susu yang bertukar menjadi keju) mengandungi faktor pertumbuhan yang menggalakkan pertumbuhan sel dan memperbaiki kulit. Dadih susu ini mempercepatkan penyembuhan luka pada binatang. Berdasarkan fakta ini, ketua pasukan penyelidikan, Dr David Belford mencadangkan dadih termasuk sebagai ejen penyembuhan khas bagi merawat luka atau sebagai penghapus kedut dalam rawatan kosmetik.

“Susu bertindak sebagai pelindung dan penghalang kerana protein yang ada dalam susu mengaktifkan mekanisme perlindungan dan meningkatkan radang pada sel kulit yang terdedah pada rengsa dan mempercepatkan proses pemulihan. Sebagai bahan rawatan untuk kulit, protein laktoglubin yang terkandung dalam susu berupaya meningkatkan tona kulit. Ia menjadikannya lebih pejal dan mengurangkan kesan kedutan yang ketara. Paling menarik mengenai protein susu ini adalah molekulnya bersesuaian dengan kulit manusia. Asid amino di dalamnya bertindak sebagai minyak pelembut (emolien), mudah diserap serta mengekalkan tahap kelembapan pada kulit,” katanya.

Terang Dr Khaiat, susu juga dikenali sebagai pengelupas semula jadi dengan kandungan AHA pada asid laktik. Asid laktik adalah satu bentuk AHA lembut yang membentuk semula tekstur pada permukaan kulit dan merangsang pembaharuan sel. Ia dilakukan dengan menggalakkan pertumbuhan sel baru secara menolak sel mati ke permukaan atas lapisan kulit. Hasilnya, kulit bayi yang licin.

“Susu sebagai pemutih kulit bukan mitos kerana saintis mendapati bahawa sodium caseinate dan protein susu mempunyai kesan pemutihan. Susu sudah digunakan pada zaman Roman Kuno sebagai pembersih. Malah orang pada zaman itu merendamkan sepotong roti dalam susu untuk digunakan sebagai span pembersih muka. Dakwaan itu kini terbukti kerana protein dalam susu yang digunakan sebagai persediaan membersih, mampu menyejukkan kulit. Faktor penyejukan ini yang digunakan bagi mengurangkan reaksi kulit yang alah,” katanya.

Powered By Blogger

ARTIKEL TERKINI

BLOG CHE DIN